Khamis, 16 September 2010

poskad hari lahirku

sebuah perutusan




 ..di dalam kehadiran kita belajar memahami, menjengok banyak ruang , mencari dan terus mencari. Kehendak, pinta untuk dilunaskan, mahu untuk dipuaskan. Membuat diri terbelengu dan dibelengu. Namun ada indah di dalamnya. Ada banyak hikayat yang tersurat dan tersirat. Maka maklumlah akan kita luas dan sempitnya kehidupan.
  

Jaluran yang jelas pada kesekian orang atau kabur pada mereka yang lain. Semuanya bergerak di atas landas yang dipilih. Mencipta dan melakar di atas kertas putih tentang potretnya kehidupan. Di atasnya banyak warna tertumpah dan dipalit. Lembut gemalai banyak tangan meniti di atas halus tari jemari di atas kanvas kehidupan. Namun ada yang kasar mencakar dan membelah makna warna yang dipalitnya, terdorong akan amarah yang tersimpan di atas kelam warna yang dipilih. Tetap keduanya membenihkan karya yang bermakna. Tetaplah indah.


Bahagian-bahagian diteroka dan diperhalusi. Bermain dengan banyak nada dan irama. Harmoni yang sopan dan garang. Berputar begitu jelas tanpa ada prejudis. Disulam lirik pada lagu kehidupan yang dipilih dari kalimah yang bertebar luas. Beralun syahdu menusuk kalbu ,kesemuanya berkongsi pada rasa bersama. Duduk erat menikmati irama yang terjalin.


Tatkala datang ribut tanpa berita. Ada yang terkejut dan ada yang tidak. Bersedia dan tidak. Banyak juga yang hanyut dipaut ribut. Melayang-layang di antara ruang yang makin jelas hampir. Tersesat.. Dihimpit pelbagai gundah rasa dan perih derita. Namun ada juga kekal berdiri , bertunjangkan banyak cara. Terus kekal setelah redanya ribut. Terus coba menguasai sisi kehidupannya. Begitulah adanya manusia.


Tetap akan ada indah pawana di sebalik kabut ribut yang memukat. Hadirnya membelai hati-hati yang pedih. Meneman antara celahan yang sunyi. Bawa kabaran indah dari atas gunung. Menyemai benih harapan di atas lembah nan kontang. Menyubur makna-makna baru kehidupan.


Justeru langsunglah kaki-kaki yang melangkah, terus kehadapan memandang jauhnya ufuk merah yang ingin digapai. Memohon akan terbitnya pelangi mewarnai bundar awan nan gebu. Berbisik di antara halus hembus bayu yang mengurai setiap getus nafas . Janganlah putus menguntum senyuman di atas takdir yang sinis dan manis.






kongsilah bersama keindahan hidupmu(^_^)-wallahuallam






16-9-2010


03.07 a.m


Sabda Kalam Incorperated

2 ulasan:

Gadis yang bermusim. berkata...

selamat ulang tahun yang sentiasa berulang.
walaupun lewat ucapannya.

sabda kalam berkata...

terima kasih . lewat atau tidak tidaklah melunturkan keindahan niatnya..terima kasih..(^_^)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...