Khamis, 7 Oktober 2010

pagi ini

Kehidupan yang tulus dilalui dengan sederhana tanpa kadang-kadang punya kemeriahan seperti ‘adventure’ nya kehidupan orang lain. Kesederhanaan laluan hidup mereka terkadang dipandang lesu oleh banyak orang di luar sana. Kononnya hidup mereka ini tidak ada warnanya, hingga seolah-olah tidak bermaya seakannya. Aku melihatnya pada sudut yang berlainan dan apa yang aku Nampak adalah nafas-nafas yang ‘hidup’ bersama getusan bayu yang lembut. Damai.
Aku tak tahu gimana lagi maksud yang paling indahnya tentang kehidupan itu. Mungkin kesan kafein yang ku teguk di dalam kopi ini. Namun kesederhanaan kehidupan itu mengenangkan pada saudara-saudaraku yang masih tenang di kampong. Hidup mereka hanya kecoh dengan karpet baru jiran sebelah dan kerusi –hutang dengan benggali , itulah sahaja yang menjadi rencah kehidupan mereka. Namun penyakit Bandar itu nampaknya menjalar masuk ke selinap daerah pendalaman ini. Banyak sudah penyakit kuning yang menular bersama dengan pembangunan teknologi.
http://www.calculateovulation.net
 Dahulu amat payah nak melihat telefon-telefon bimbit. Sekarang hatta atuk-atuk pun sibuk ber’sms’. Tidak banyak lagi kisah-kisah nostalgia tentang zaman muda mereka. Sudah makin banyak dengan cerita tentang model terbaru telefon mereka dan kecanggihannya. Ramai saudara-saudara aku yang tahu apa itu facebook. Sekarang kenduri diajak guna facebook malah persiapan mengenainya pun di war-war di laman sosial ini.
 Banyak cerita yang buat aku tersenyum di pagi-pagi ini. Mak peah yang kesibukan dengan resepi barunya yang nak dimasukkan pada facebooknya. Sibuk mengambil gambar gulai ikan talam masin bersama pisangnya itu dengan nokia 3200 yang dibelikan menggantikan model lama (tiada fungsi kamera). Keghairahan saudara-saudaraku ini dengan kemajuan teknologi sememangnya bukanlah lagi suatu perkara baru yang memelikkan. Malah ketidaktahuan mengenainya pula yang mengundang keanehan bagi sipenanya-nya.
Nampaknya kepanasan kopi aku ini makin suam dengan sejuknya hawa pagi yang menggigit. Walaupun sudah Nampak jelingan manja mentari pagi disebalik bilah tingkap rumahku ini. Fikiranku masih lagi bernostalgia bersama kenangan-kenangan lama yang masih lagi mengusik sendu jiwaku. Kenangan yang menjadi saksi akan buktinya hidupku. Aku tahu ramai yang sudah tidak mahu bernostalgia dengan cerita lama. Seperti yang paling kerap suatu ketika dahulu dari pak ngahku  cerita betapa dahulu duitnya yang punya nilai yang lebih berbanding sekarang. Ceritanya; dahulu sepuluh sen boleh beli macam malah boleh beli nasi lemak sebungkus tak seperti sekarang yang hanya boleh beli cekelat(pelatnya menyebut coklat merujuk kepada gula-gula). Yalah seingat aku pun semasa aku kecil dulupun dengan jumlah yang sama aku masih lagi dapat membeli jajan yang popular digelar kami cekedees (hamper semua jenis jajan  dinamakan dengan nama ini-yang sebenarnya bersempena dengan jenama sebuah jajan yang punya perisa keju )
sumber gambar: http://anakbekasperajurit.blogspot.com
Banyak lagi nostalgia lama yang aku pernah dengar seperti sebagaimana dulu kala malam kenduri selepas menyiang(memotong) daging kerbau atau lembu yang disembelih akan dituruti dengan cerita benar dan juga dongeng dari kalangan jiran-jiran yang ada. Sekarang sudah ditukar dengan kebisingan koraoke oleh mereka-mereka ini. Kemeriahan masih ada namun sudah berlainan sifatnya. Cerita tentang terserempak dengan lintah sebesar kereta melintas jalan (kononnya jelmaan penunggu paya) ketika pak mail mengail tidak lagi kedegaran. Tiada lagi cerita lucu abang napi tentang waktu mudanya mengorat.Semuanya telah berganti dengan bunyi karaoke pak mail dengan lagu ahmad  jais dan abg napi dengan jamal abdillahnya.
Nampaknya pagi benar-benar membuka kembali memori lama yang sekian lama aku lupakan dalam melalui pasang surutnya kehidupan mengejar kesenangan di kota. Aku sudah tua mungkin. Hari-hari yang aku laluipun semakin pudar rasanya. Banyak mengejar rutin-rutin harian mengais rezeki di kota yang penuh ceritanya ini. Kenangan-kenangan lama ini buat banyak menyegarkan kembali nafasku yang lesu ini...dan ku sambut pagiku ini dengan rasa segar pada kehidupan (moga-moga). Ya, masih ada sinar di sebalik mendung awan.

1 ulasan:

aslinahali berkata...

nostalgia.....ermmm.....indah :))

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...