Isnin, 21 Disember 2015

normalisasi

..menariknya tentang kehidupan bagaimana kita berhadapan dengannya seharian dan masih lagi tidak punya klu atau petunjuk tentang apakah yang ‘sebenarnya’ kehidupan itu. kita menjalani dengan pelbagai keadaan dan situasi.
   ‘Overwhelming’ itulah perkataan yang sesuai dengannya. Bukan dalam bentuk diskripsi tetapi lebih kepada gambaran terhadapnya. Aku guna perkataan ini itu mengambarkan bagaimana ia(kehidupan)  sedang me’lemas’kan aku di dalam keadaan yang paling positif sekali. Walaupun ianya ironis.
  Rasa ditelan sepenuhnya. Terlalu banyak kebaikan dan kebahagiaan hampir seperti ‘high’ orang yang menggunakan dadah-apapun jenisnya. Pelik dan anih. Kehidupan me-‘nagih’-kan, ketagihan yang dinormalisasikan dengan penyesuaian dan penyerapan kita terhadap segalanya. Dikatakan itulah ‘kemandirian’ itu sendiri. Kita mengadaptasi setiap perkara, unsure, factor, dan kepelbagaian yang berlaku di dalam kehidupan.
  Kita belajar. Memahami segalanya, walaupun di dalam pengulangan yang berterusan, di dalam jemu itu ada sahaja perkara baru- berlainan tentangnya. Menarik dan mengujakan. Begitulah kehidupan –sepositif yang mungkin dapat aku berikan. Namun versinya berbeza-beza kepada banyak orang. Tidak akan mungkin setiap dari kita itu menghirup rasa yang sama walaupun dari gelas sama. Perbezaan itu tetap wujud, menjadikan setiap dari kehidupan itu unik hanyak untuk diri kita, kepelbagaian ini yang meng-indah-kan kehidupan.

   Walaupun ada yang betul-betul ‘ tenggelam’ dan ‘lemas’ di dalamnya. Itulah lumrah. Seperti sahaja yang diterangkan di atas proses normalisasi itu me‘lali’kan kita. 

*normalisasi- adalah perkataan yang digunakan secara bebas, namun difikirkan amat sesuai dengan konteks keseluruhan teks. SK

Rabu, 16 Disember 2015

Disiplin. Satu perkataan yang kukuh dan tebal, tiada usapan mahupun kelembutan yang dapat dirasakan daripadanya. Namun itulah yang mengubah dan membentuk banyak kejayaan dan kemajuan bangsa manusia. Barat menegakkan tiang ketamadunan di atas asas perkataan ini. Juga, ‘dia’lah juga perkataan yang paling dibenci oleh ‘budaya’ orang melayu. Jangankan mendekat, menyebutnya sahaja banyak mulut dan bibir yang menjuih dan mencebek. Begitulah ‘hebat’nya melayu yang ber ‘tuan’ di tanah sendiri. Tanpa faham dan tidak mahu langsung untuk mendekati setiap resapan , makna dan manfaat ‘disiplin’ itu bila diterapkan.

Islam, ada tersembunyi disiplin di dalam ibadat dan seluruh gaya hidupnya -semua disulam bersama. Dan tidak dapat tidak disangkal melayu itu ISLAM! Ganjil dan ajaib umat melayu itu boleh sahaja berdiri dan menyombong tanpanya. Sebenarnya islam itu sendiri berkembang di atas disiplin. Maka apakah lagi yang dapat menyangkal akan signifikasi perkataan ajaib ini.


Memalukan! Apabila sahaja yang menulis ini sendiri tidak memegangnya, menagkap dengan sepenuhnya, menelan-wahamnya selahap-lahapnya. Itulah yang masalah dan kelemahannya, apabila sahaja yang mengalir di dalamnya darah melayu yang sama. Ya, itu ‘alasan’. Ituulah juga yang menjadi perkataan yang paling sinonim dengan bangsa melayu itu. A.L.A.S.A.N. ..hebat memang HEBAT..


Isnin, 14 Disember 2015

Jangkaan

Adalah sesuatu yang menarik apabila memikirkan bahawa kita adalah yang terbaik di dalam kehidupan(setiap usaha dan tindakan). Itulah adalah fakta yang benar kerana setiap kehidupan yang kita jalani berlaku dari sisi pandang kita dan telah pun berlaku tanpa kita perlukan perakuan dan penghargaan orang lain terhadap setiap usaha yang kita lakukan di dalamnya. Namun disebabkan sindrom ‘penerimaan dan perakuan puak/komuniti/majaoriti) melemahkan banyak potensi sebenar individu itu untuk diserlahkan dan ‘dikeluarkan’ sepenuhnya.

Apabila sahaja kita melakukan sesuatu tanpa sebarang jangkaan atau harapan (orang lain) , hanya melakukan sedaya upaya kita akhirnya nanti ,keputusan itu pasti menghasilkan sesuatu yang sempurna sesuai dengan usaha yang kita lakukan. Namun di sini juga terletaknya kelemahan -apabila sahaja sesuatu usaha, tindakan yang dilakukan tanpa sebarang jangkaan dan harapan, ada setengah dari kita yang akan sambil lewa di dalam usaha mereka. Begitu pun semuanya ini bergantung kepada ‘apa’ yang kita fikirkan sesuai di dalam kita menentukan ‘bagaimana’ kita mejayakan setiap usaha kita itu dengan baik. Semuanya bergantung TUJUAN asal kepada tindakan, cukup sahaja ‘conviction’ dan pemahaman terhadap tiada apa pun yang akan menghalang setiap dari untuk ‘meledak’ di luar sana. Ayuh fikirkan dengan baik setiap tindakan itu agar ia(kehidupan kita) menjadikan sesuatu yang luar biasa.

Khamis, 12 November 2015

..peluang

Kita cuba mencari makna di dalam kehidupan , mencari keindahan di dalam setiap lumpur, hitam –wajah sebenar kehidupan. Keseorangan dan ditinggalkan bagaikan puing-puing awan di atas kanvas biru yang bagai tiada sempadan –kita cuba menemukan diri di situ, menyatakan kehadiran kita di dalam ketika –minit dan saat yang menjadi sebuah babak yang kemudian ingin kita ludah dan muntahkan. Malah mungkin kita berfikir bagaimanakan mungkin untuk kita carikan  cara untuk memulainya semula –menyempurnakan segala kesilapan yang telah terbuat –dibuat –itu.

Mana mungkin.

         Semuanya mahukan diberikan peluang yang kedua untuk segalanya di dalam kehidupan. Semuanya agak mustahil untuk diulangkan semula –diundurkan –ditarik semula –andainya kita tidak tahu apakah sebenarnya perbuatan kita –maknanya –apakah yang sedang dibawanya –apakah yang ada di situ. Kita mencari dan terus mencari.
    
             
Ada yang menemukannya di dalam hari esok. Kata mereka di situlah peluang kedua mereka. Adakah itu yang sebenarnya –benarkah anggapan mereka itu. Bagiku hari esok itu bukan peluang hanya ‘yang seterusnya’ –terus sahaja ke hadapan. Mungkin menelah yang semalam untuk menjadikan besok itu lebih bermakna atau ‘sempurna’.
       
                       Kehidupan adalah anugerah yang diberikan –dikurniakan kepada setiap yang bernafas dan bernyawa –mengisi , melapisi, memenuhi ruang dan celah –saling melengkapi walau cacat, buruk dan hodoh, kesemuanya anugerah yang datang dalam kehidupan. Kesilapan dan kesalahan adalah kurniaan yang memanusiakan ‘orang’ supaya tidak menjadi haiwan yang hanya punya nafsu sahaja. Akan ada sahaja kurniaan di dalam apapun nama, label dan istilahnya , ‘ peluang’ itu, kita seharusnya menghirupnya, menelan kesemuanya dengan penuh kelazatan maksud yang dinamakan kehidupan.

Isnin, 9 November 2015

“…hidup!”


  Kita mempercayai dengan sepenuhnya bahawa kita sedang ‘hidup’ kerana dengan gerak tubuh , pendengaran, penglihatan, pemikiran, emosi –semuanya ini meyakinkan kita. Kita ‘hidup’ semahunya di dalam ketika ini, masa kini dan mewarnai setiap jejak kita itu dengan pelbagai pemahaman dan pemaknaan yang sesuai dengan kemahuan.
    Sebetulnya kita ini menginterpetasi sahaja kehidupan mengikut kemahuan dan pemerhatian yang berlaku di sekeliling kita. Kita menapis realiti mengikut acuan yang dirasakan sesuai dengan apa yang kita inginkan. Jesteru hidup yang diinginkan sedikit camping di dalam banyak segi, terpenjara dengan lingkup sempadan yang dibuat-buat dan direka-ciptakan oleh ilusi-‘apa itu keinginan’.
  Sememangnya tiada siapapun memahami ‘hidup’ itu sepenuhnya. Setiap dari yang mengalami ‘hidup’ itu pasti ada kecacatan di dalam menakul , malah mengunyah maknanya keseluruhannya. Namun kita semua ‘cuba’. Tiada yang salah di dalam ‘hidup’ hanya sipelakunya sahaja. Pilihan –itu yang sebenarnya berlaku. Hidup sebagaimana organiknya ia beralun dan berputar mengikut roda yang telah ‘dipastikan’. Berkembang lalu memercikkan keindahan,  kehodohan –saling melapisi , merobah dan melahirkan ‘sesuatu’- yang kemudian dilihat, ditelan –menjadi ‘realiti’ dan memori.

   Dunia materi , mengorbit ‘hidup’ ini sehingga  jiwa –jiwa itu lelah dan lemas di dalamnya. Mereka ketewasan untuk semuanya, celik di dalam buta dan pekak di dalam dengar mereka. Ya bahkan yang cacat, pekak dan buta itu lebih ‘hidup’ berbanding mereka yang tewas ini. Hidup dan dunia materi itu saling berganding,  namun tidak harus dijadikan maksud untuk antara satu dengan yang lain. Memegang dan merasa sepertinya sama. Banyak yang keliru tentangnya. 

**bersambung








Jumaat, 7 Ogos 2015

..pos lewat tahun 2015

..pengaturan sedang dijalankan, beberapa perkara telah disusun ..hanya masa akan menentukan, tiada yang dapat menghalang; kebangkitan, PASTINYA!!.


         SESUATU AKAN BERLAKU...

..semua kekacauan itu pastinya akan tenang semula ....

Selasa, 28 Oktober 2014

..hari ini dalam sejarah

..banyak perkara yang buat kita bingung dan keliru di dalam kehidupan. Setiap apa yang berlaku pada setiap hari kita akan menjadi memori kepada setiap mereka yang terlibat-langsung atau tidak langsung- setiap dari membawa dan memberi peranan dan kesan masing-masing terhadap peristiwa yang berlangsung.
   Ia juga membawa makna yang berbeza kepada semua pihak yang terlibat. Sejauh mana ia akan mempengaruhi jalur kehidupan kita yang seterusnya.
   Ia mungkin akan memberi lompatan besar(ke hadapan) di dalam hidup kita. Atau menarik kita ke belakang (mundur).
     Pastinya semuanya itu bakal menjadi titik bersejarah kepada kita. Hari ini dalam sejarah itulah peristiwa bahwa sesuatu telah berlaku..bukan sekadar berlaku sahaja tetapi menjadi arkib di dalam 'gudang' kehidupan kita.
   Justeru itu haruslah diingat bahawa setiap langkah yang diambil  harus diatur dan ditelitikan dengan sebaiknya..atau sesempurna mungkin. Inilah saranan yang penulis sendiri walaupun masih lagi (sendiri) bergelut dan berhempas pulas untuk melaksanakannya. Namun harus dibuat walau PAYAH.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...