Rabu, 13 April 2011

Hilang pertimbangan

  Apabila membaca berita seorang Ustaz yang memukul anak muridnya sehingga mengakibatkan kematian adalah sesuatu mengejutkan serta membimbangkan. Apabila perkara sebegini terjadi walaupun hanya satu kes tetapi memberi satu petunjuk dan indikasi bahawa kita semakin hilang pertimbangan. Apa yang berlaku menunjukkan kegagalan seorang individu di dalam mengawal tindakannya.

Kenapa?
  
    Semuanya menunjukkan tekanan hidup yang semakin lama menghakis kewarasan setiap daripada kita. Tekanan yang berlaku ini adalah disebabkan oleh tuntutan untuk memenuhi keperluan dan kehendak di dalam kehidupan. Semuanya adalah untuk memenuhi aspek material yang sekarang ini menjadi fokus utama dalam sosio masyarakat. Kita boleh lihat dengan lambakan iklan seperti ini  di dalam internet ataupun media konvensional. Semua orang dihasut dengan duit sehingga semuanya dinilai dengannya. Malah semua aspek kehidupan dipengaruhi dengan duit.Jesteru semua tindakan adalah untuk menaiktaraf nilai 'duit' yang ada pada kita. Akhirnya kesukaran dan kepayahan di dalam memenuhinya mengakibatkan tekanan dan stress. 

 Aspek pemakanan juga mempunyai signifikasinya yang tersendiri. Mutakhir ini diet pemakanan kita berubah, semakin ringkas dan mudah tanpa meneliti aspek nutrisi yang terkandung di dalamnya. Semua ini berkait rapat dengan perkara yang di sebut sebelum ini. Hidup dalam masyarakat pasca urbanisasi  ini sebenarnya memberi banyak pilihan untuk kita . Untuk mendapatkan nutirisi yang terbaik kita perlu mengeluarkan kos dan jangka masa tambahan berbanding pilihan lain yang lebih murah dan cepat. Akhirnya keperluan nutrisi yang betul itu terpaksa diabaikan. Ini terbukti dengan kelahiran-kelahiran bayi masa kini yang mempunyai komplikasi kesihatan yang jarang berlaku mahupun tidak pernah berlaku sebelum ini.

  Daya penumpuan juga semakin merosot dengan kepelbagaian tugas dan keserentakannya yang terpaksa dikendalikan dalam kehidupan sekarang. Kelahiran teknologi baru iaitu gajet-gajet ini yang tujuannya untuk memenuhi kehendak tadi hanyalah penyumbang kepada kemerosotan tumpuan otak manusia. Kebergantungan terhadap teknologi ini pula mengubah perlakuan biasa kepada penyakit ketagihan yang akhirnya menyebabkan kemalangan. Skil-skil biasa seperti mengingat nombor telefon mula hilang dan digantikan dengan teknologi. Belum lagi menyentuh aspek risiko kesihatan disebabkan gajet-gajet ini.
Daya fokus dan penumpuan amat kritikal di dalam menghadapi perubahan yang semakin pantas berlaku pada masa kini.

  Kebijaksanaan di dalam menguruskan stress amatlah penting dan ianya akan menjadi skil yang wajib ada di dalam masyarakat pasca internet ini. Namun masalahnya di dalam masyarakat Malaysia amnya ia adalah perkara yang tidak di titiberatkan dan langsung diabaikan. Keperluan spiritual manusia itu tidak dipenuhi dengan baik sehingga akhirnya mati ditekan keperluan material. Ketidakseimbangan ini membuatkan penilaian terhadap sesebuah keputusan itu berubah dengan cepat dan tidak dibuat dengan betul. Berbalik kepada laporan  berita  'Ustaz mengakibatkan kematian anak murid'  mungkin di sini tidaklah  berapa lengkap dan teliti analisisnya tetapi dapat dilihat pada betapa kurang pertimbangan yang jelas pada seorang seperti  itu untuk memperlakukan perbuatan di luar batas kemanusian. Dilaporkan dia amat kecewa dengan muridnya yang selama ini dibantu dengan baik dari segi keperluan materialnya. Nah, jelas menunjukkan perbandingan dan keputusan beliau adalah berdasarkan kepada aspek material. Harus diakui ada beberapa perkara yang di sini tidak diperhalusi untuk memberikan gambaran yang baik tentang kes ini. 

  Akhirnya saya beranggapan semua ini disebabkan oleh perubahan perspektif kita di dalam meletakkan apakah nilai sebenarnya kehidupan ini. Semuanya haruslah difahami supaya dapat perkara yang sama atau lain dapat dielakkan walau hanya untuk seorang individu.

*pendapat di atas hanyalah bersifat peribadi dan terbuka untuk dinilai dan diperhalusi. Sebarang kritis dan buah fikiran dari anda amat dihargai.
sumber gambar: http://immobilienblasen.blogspot.com/2008/09/cartoon-of-day.html

Sabda Kalam 2011

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...