Hari Raya Aidilfitri semestinya membawakan rasa gembira ke
dalam setiap muslimin setelah sebulan berpuasa. Hari untuk merayakan
kejayaannya. Tapi tahun ini semuanya agak berbeza dengan ramai saudara kita.
Dua tragedy , satu dekat dan satu lagi
yang sudah berdekad-dekad tidak usai. Keduanya membawa ‘mood’ yang ‘lain’ untuk
kita, aku sendiri merasa berbeza, malah sedikit tidak sangat merasa ‘ meriah’
sebagaimana biasa. Mungkin sedikit terkesan dengan keduanya. Lukanya ikut
terasa kan pedihnya. Mungkin juga aku
sudah terlalu ‘tua’ untuk Hari Raya.
Namun untuk semangat dan hiburan di sini ingin aku kenang
sedikit kenangan sewaktu kecil berhari raya.
Kuih raya
Dahulu tanpa ada kuih muih yang siap dari kilang dan
individu yang membuatnya, kuih raya kebanyakan di buat di rumah. Pilihanya juga
terhad kepada beberapa jenis kuih tradisi sahaja. Kuih siput, kuih bahulu, kuih
gunting, putu beras, putu kacang, dodoi, kuih lidah kucing, kerepek pisang,
kerepek ubi dan beberapa lagi kuih yang aku sudah lupakan namanya. Semuanya
dibuat secara bergotong royong bersama jiran tetangga. Satu jenis setiap hari,
apabila sahaja dekat dengan hari raya.
Aku yang kecil ni akan diberi tugasan untuk memukul telur
untuk kuih bahulu atau kek oleh ibu dengan pengacau telur besi berspring yang
lebih panjang dari tangan aku di dalam pasu tembikar yang besar hampir meliputi
seluruh badan. Dengan memiringkan pasu itu sedikit, aku kepit dengan paha aku
yang kecil ni, seakan memeluk nya dengan
seluruh tubuh aku , kemudian dengan kedua tangan aku henjut sekuat hati telur di dalam pasu itu.
letih tambah lagi dengan puasa. Suatu kerja yang rimas, pinta cepat sahaja
disiapkan untuk turun ke tanah, main mercun bersama geng yang lain.
Kuih siput aku tak suka kerana banyak aktiviti menggetelnya,
kekadang nak cepat sampai besar-besar aku buat, lepas tu kena marah dengan Mak.
Kuih gunting begitu juga. Nak menggunting seluruh acuannya merimas aku yang
kecil dan tak sabar nih. Habis huru hara saiznya dibuatnya aku.
Semuanya kuih-kuih makin hilang digantikan dengan kuih –kuih
moden, biskut-biskut dan kerepek yang
segera terus dari kilang. Rindu juga dengan kuih-kuih ni semuanya. baru-baru
dapat lihat di rumah yang aku lawat , tidak pulak aku jamah, kerana hanya melihat
sambil lewa sahaja, sedikit ralat , aku sendiri sudah melupakan banyak tentang
kemeriahan raya.
Perubahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan asalkan
ia berlaku dengan baik dan itdak merosakkan.
Sesuatu tentang kuih raya dahulu dan sekarang yang aku lihat. Walaupun
dulu tidak sebanyak sekarang pilihannya
tetapi ia dibuat oleh tangan kakak, ibu , nenek, makcik-makcik yang menuang
bersama rasa kasih dan sayang, sehinggakan jarang kuih raya yang dijamu tidak
dijamah.
Ya itu sajalah dari aku untuk raya yang kali ini, insya
Allah mungkinkan ada peluang kita ke Hari Raya yang hadapan pula.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI , MAAF ZAHIR DAN BATIN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan