[..sebuah cerpen yang digubah dari post pendek suatu masa dahulu, semoga dapat meromantiskan semula rasa dan jiwa kamu.]
Pedih hatinya yang memukat membaur dalam
lambaian malas dedaun kelapa di sore itu. Diusap oleh dingin bayu laut, saat
mentari jingga bersinar pucat di hujung horizon. Dia terus mengeluh, menghempas nafas beralas
kecewa berat dan keras. Dian duduk membisu di atas batu besar itu menatap biru
laut luas di depan dengan menungan kosong. Selendang yang terpaut lembut di leher
melambai-lambai lembut pada mentari senja itu. Langsungt tidak terpaut padanya
hatinya irama senja syahdu yang sedang membelai penghuni Pantai Cahaya. Dua
lembar surat itu masih erat di kanan tangannya. Basahnya tadi kian ansur kering
ditiup laju bayu pantai. Namun tangis dalam hatinya ,Dian Sari masih basah,
kenangan lama yang makin memijarkan perit hatinya....
............"sayang, kalaulah dapat ingin abang binakan
untukmu sebuah istana di bukit sana , biar nanti pantai yang cantik dapat kita
tatap bersama tiap hari" ucapnya lembut, merenung redup wajah Dian Sari.
Bayu laut membelai wajah dan ikalnya rambut Dian.
"abang...walaupun tanpa istanapun sayang sudah bahagia bersama
denganmu. Berada di sisi abang merupakan bahagian yang paling baik pernah
berlaku padaku...dulu keseorangan kini punya teman, suatu yang tak ingin ku
tukar ganti lagi ...abang.." percakapannya dihentikan oleh telunjuk jari
Sulaiman yang menyentuh bibirnya.
"abang..pun bahagia dan saat ini tak mungkin abang dapat bandingkan
dengan suatu apapun ada di dunia ini, segala kemewahannya itu tidak dapat
ditukar ganti dengan saat ini."
Dian hanya tersenyum. Mekarnya melewati indahnya senja mentari di sana
yang jadi ikut tersenyum dan melambai waktunya untuk hari itu untuk dua
kekasih ini. Maka berlabuhlah jingga itu berturutlah kelam mega berganti
gayutan kerlipan bintang terkejipkejip ceria di dada langit. Mereka beredar
meninggalkan pantai cahaya dengan harapan yang berbunga kembang. Dian memandang
wajah Sulaiman, menelusuri setiap susuk dan susun keindahan wajah itu yang
bertakhta di hatinya. Tulang pipinya yang timbul seakan telah dipahat halus,
kumis tipis melapisi ulas bibir yang senyumannya menarikkan senyuman pada
sesiapa yang memandangnya. Semuanya disempurnakan dengan alun hitam rambut yang
melengkapi kejantanan wajah di depan Dian itu. Dia tersenyum bangga kerana
memiliki dan dimiliki oleh Sulaiman. Dia percaya sepenuhnya dengan takdirnya
mereka bersama. Dia yakin dengan keutuhan cinta mereka. Hanyalah kini tinggal
untuk dibinakan suatu masa hadapan yang indah pula di atas asas cinta mereka.
...........dan
kenangan itu ikut membasahi senja yang makin labuh. Kilau jingganya memercik di
atas dada air bak kilauan permata dan Dian kini tenang memandang semuanya. dari jauhnya unggun
api mula membakar marak dihujung sana, kelihatan bersama 4 tubuh manusia
bersahutan di dalam gelak ketawa mereka menikmati saat senja yang paling indah
itu.
Langsung tidak didengari dan dipedulikan
oleh Dian akan keriuhan semuanya itu. Dia masih tenggelam di dalam pantai
kenangan yang indah.
“assalamualaikum..Dian,
dinda ku sayang..abang pulang sayang” kedengaran lembut sahaja di depan rumah
papan sederhana , berkamar tunggal itu. Kelihatan A tanpa baju dengan seberkas
paku di tangan kanannya, siap dengan parang tiada bersarung tersisip kemas di pinggangnya.
Muncul Dian
bersama segelas air tawar di atas piring putih, dilhulurkan terus kepada Sulaiman.
“siap tebasnya
bang kebun pak haji tu?” tanya Dian menyambut paku dari suaminya itu,
meletakkannya di samping, terus bersimpuh di muka pintu.
Sulaiman tanpa menjawab terus mengibas-ngibas
panas tubuhnya dengan seputar yang tadi diikat di pinggangnya sebaik duduk
dihujung beranda kayu kecil itu.
“belum..dua tiga
hari lagi” jawabnya pendek memandang halaman rumah yang kosong dengan hanya
tiga batang kelapa sahaja yang mengisinya. Kemudian selepas pohon kelapa itu
seperti pagar adalah pantai pasir putih indah menyambut mata yang melihat.
Berjiran sama dengan beberapa rumah lagi yang ada di situ.
“ abang, bila
sudah nanti bolehlah abang baiki sampan kita itukan? Boleh abang turun ke laut
semula.” Ucap Dian dengan penuh harapan.
“ya..sayang”
tawar sahaja balasan Sulaiman itu. Tidak berpaling dari pandangan menghadap
pada pantai itu.
“kenapa bang?”tanya
Dian bimbang melihatkan suaminya itu.
“tadi ..baduk
ada datang ke kebun haji, di tanyakan abang..” jawab Sulaiman, terhenti
seketika, meneguk air tawar yang lama dibiarkan.
“tanya apa?”
“dia mengajak
kerja..”
“kerja?”
“ya..di pekan”
Dian diam
membisu mendengarkan perkataan ‘pekan’ itu. Sulaiman terus berpaling disebabkan
olehnya.
“ sayang abang
nak bina masa depan yang bahagia buat kita”
“abang dah
terima kerja itu” tanya Dian yang sudah bergenang air mata itu.
“sayang abang
bukan nak tinggalkan sayang terus..”cepat Sulaiman bangkit dari duduknya terus
segera mendapatkan Dian merangkul rapat kedadanya.
Dian hanya diam
sahaja. Dia terus sahaja mengalirkan air matanya dengan sedikit esakan di
dalamnya.
“sampan kita ?”
tanya Dian tiba-tiba.
“sayang bukan
abang tak boleh nak baiki sampan kita, tapi di pekan peluangnya lebih besar
sayang. Nanti dapat abang dapat belikan apa sahaja yang sayang mahukan dengan
upah abang nanti”
“
Dian tidak mahukan itu bang, aku hanya mahukan abang ada di sisi ku sahaja,
tiada wang atau emas manapun dapat menggantikan kehadiran abang di sisi Dian.”
“ya
abang tahu sayang..tetapi percayalah abang hanya mahu membina masa hadapan yang
cerah untuk atau mungkin juga untuk anak-anak kita. Abang tidak mahu melihat
mereka ikut merasa susah oleh sebab abang tidak melakukan apa yang sepatutnya.”
Dian
diam semula. Dia mengangkat wajahnya , memandangnya wajah Sulaiman yang tak
lepas memandang ke wajahnya. Dia merenung ke dalam mata yang penuh azam dan
cita-cita itu. tajam dan kukuh menggam sebuah keputusan. Kemudian perlahan dia
mengangguk dan diikuti dengan senyuman dari Sulaiman bersama kucupan panas di
dahinya.
….Dian
memerhatikan lagi remang ufuk yang hanya tinggal bias-bias sahaja itu. dingin
mula menjengah kulitnya. Gelap hari mula merangkak masuk menenggelami merah
ufuk yang berbalam-balam. Dian ikut bangun dari duduknya di atas batu, perlahan
melangkah menyusuri pantai dengan erat memeluk tubuhnya bersama balutan
selendang hijaunya. Meninggalkan bekas-bekas dari kaki yang tidak beralas
apa-apa.
…….“bila
jab.. lusa? kata engkau, semalam..hujung minggu ni.”
“aku
ke rumah tuk penghulu petang tadi , bos besar telefon aku, katanya aku kena
segera pulang, kerja harus dimulakan segera.” Terang Rejab sambil mengulung
daun nipah kering bersama tembakau kering itu. kemudian dinyalakan dengan
pelita di atas pelantar beranda itu. asap putih tebal ikut sama berkepul
bersimpul bersama malam yang makin pekat menyelubung.
Dian
dimuka pintu mendengar dengan bimbang. Hatinya jadi tak keruan. Dia
memerhatikan suaminya yang langsung tidak berpaling dari tadi.
“aku
faham kalau tak mahu ikut, tapi aku takkan balik lagi dalam 2 bulan ni. Jadi
kalau kau nak ikut aku, besok kau bersiaplah.” Ucap rejab memberikan kata dua.
Sulaiman
diam. Bimbang makin menyelimuti Dian. Tangan kanannya memegang loket di
rantainya. Dia mengusap-usapnya tanpa
tujuan. Ikut sama menunggu jawapan dari suaminya. Rejab terus sahaja menghembus
asap rokok nipahnya itu. memerhatikan seketika halaman rumah yang gelap, hanya
kedengaran ombak malam menghempas keras.
“baik,
aku ikut kau lusa” jawab Sulaiman tegas.
Namun
jawapan berdentum , menyentak hati Dian. Walau dia tahu akan iutlah jawapannya
tapi hatinya tetap tak lepas untuk harapan. Malam itu mula makin pekat dan sunyi.
…sunyinya
makin terasa di dalam langkahnya yang lambat itu. jalan itu makin sunyi dan
gelap, tidak lagi ada tangan yang memimpin. Selendangnya melambai deras sebaik
sergahan bayu laut lepas menyergah dia. Bujur wajah itu diterpa dingin yang
menggigit. Tiada lagi yang tubuh yang akan menahan kedinginan itu. dia terus
melangkah lagi makin jauh di pantai kenangan.
….
“abang
sudah khabarkan pada ayah dan Mak. Pada pak teh sebelah pun sudah. Ada masalah
apa-apa nanti panggil sahaja pakteh dan makteh sebelah ya sayang” pesan Sulaiman
di dalm perbaringannya, menatap wajah dian yang sugul sejak semalam. Malam
terakhir sebelum dia berangkat menjadi semakin suram dengan hanya cahaya
purnama yang tersembunyi sebahagian tubuhnya di dada langit. Di kamar rumah
papan itu ada ternampak bilah cahaya yang berjaya tembus melalui celahan
dinding menerangi gelap suasana malam itu.
“sayang, betul sayang boleh seorang sahaja di
rumah ni, ayah dan mak tak kisah kalau sayang nak tinggal dengan mereka. Abang
sudah tanyakan semalam.” Ucap Sulaiman lagi.
Dian
mengeleng sahaja di dalam jawapan. Ada air mata yang sudah bertakung di
wajahnya.
“sayang..”
Sulaiman
merangkul rapat isterinya. Dian teresak-esak di dalam pelukannya. Suasana malam
menjadi makin pilu. Tiada riuh rendah cengkerik untuk menghilangkannya. Tinggal
hanya sesekali deru angin membelah pekat malam , juga hempas ombak di bibir
pantai.
“tiga
bulan sahaja sayang. Pasti abang kan pulang.”
Dian
memandang semula wajah suaminya. Terasa sesuatu bakal hilang membelah hatinya.
Makin rapat dia merangkul Sulaiman.
“sayang
mahu abang jaga diri abang baik-baik supaya nanti abang balik selamat ke sisi
ku.” Pinta dian perlahan.
Sulaiman
mengangguk-angguk lembut.
“iya
sayang, abang akan ingat pesan sayang”
Dian
mengukir senyuman kecil di dalam khuatir dan takut yang makin berbunga di dalam
hatinya. Malam makin larut. Hatinya makin gelisah.
“abang
cintakan sayang” ucap Sulaiman bersama kucupan hangat di dahi Dian.
....Hangat
yang buat Dian menyentuh tanpa sedar dahinya. Kehangatan yang jelas terasa di
dalam malam ini. Dia mengukirkan senyuman. Walaupun ada pahit di dalam
senyumannya itu. Namun dia makin pasti dengan langkahnya yang dimajukan makin cepat
dan kemas. Membekas jejak di atas pantai kenangan cinta mereka itu. Walau
mungkin hanya tinggal bekas namun dia pasti tidak akan melupakannya. Dari rumah
papan , mehligai cinta mereka berdua tersergam indah di depannya. Menunggu di
depannya Mak Minah dan Pak Samad. Menantikan anak menantu mereka dengan bimbang
wajah yang jelas terpapar. Cepat Dian mendapatkan mereka. Memeluk Mak Minah
bersama esakan kecil , terhenti kemudian melepaskan pelukannya. Wajah tua Mak
Minah itu di tatapnya ada linangan yang berbekas di wajahnya.
“Mak
sudah tahu Yan. Marilah naik. Dari tadi sudah kami tunggukan kamu. Bimbang
apa-apa yang jadi pada kamu. Marilah”
“ayah
sudah minta tolong dengan tok penghulu tengahari tadi, zohor besok kita
bertolak dengan kereta dia. Sudah dian jangan ditangiskan yang pergi tetap
pergi jua” Pak Samad menyambung pula sambil mengikuti dari belakang.
Sama-sama
mereka melangkah naik ke rumah papan itu. Dian sempat berpaling ke pantai
semakin gelap diselimuti malam itu. ketika dia mahu menutup jendela rumah papan
itu sambil di sapa seekor kunang-kunang yang terbang dekat, terawang-awang
beberapa ketika kemudian terus terbang pergi, hilang dari pandangannya.
Senyuman mula memekar di wajah bujur itu. pandangan jatuh semula pada pantai
yang kini bakal menjadi keping-keping memori cinta mereka. Daun jendelanya
ditutup rapat mengakhiri malam yang dingin dan suram itu. hanya deburan ombak
beralun lembut dan berlagu panjang di pantai cahaya itu. tenggelam bersama
malam yang tiada kepastian untuk kesekiannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan