Kita cuba mencari makna di dalam kehidupan , mencari
keindahan di dalam setiap lumpur, hitam –wajah sebenar kehidupan. Keseorangan dan
ditinggalkan bagaikan puing-puing awan di atas kanvas biru yang bagai tiada
sempadan –kita cuba menemukan diri di situ, menyatakan kehadiran kita di dalam
ketika –minit dan saat yang menjadi sebuah babak yang kemudian ingin kita ludah
dan muntahkan. Malah mungkin kita berfikir bagaimanakan mungkin untuk kita
carikan cara untuk memulainya semula –menyempurnakan
segala kesilapan yang telah terbuat –dibuat –itu.
Mana mungkin.
Semuanya mahukan diberikan peluang yang kedua untuk
segalanya di dalam kehidupan. Semuanya agak mustahil untuk diulangkan semula –diundurkan
–ditarik semula –andainya kita tidak tahu apakah sebenarnya perbuatan kita –maknanya
–apakah yang sedang dibawanya –apakah yang ada di situ. Kita mencari dan terus
mencari.
Kehidupan adalah
anugerah yang diberikan –dikurniakan kepada setiap yang bernafas dan bernyawa –mengisi
, melapisi, memenuhi ruang dan celah –saling melengkapi walau cacat, buruk dan
hodoh, kesemuanya anugerah yang datang dalam kehidupan. Kesilapan dan kesalahan
adalah kurniaan yang memanusiakan ‘orang’ supaya tidak menjadi haiwan yang
hanya punya nafsu sahaja. Akan ada sahaja kurniaan di dalam apapun nama, label
dan istilahnya , ‘ peluang’ itu, kita seharusnya menghirupnya, menelan
kesemuanya dengan penuh kelazatan maksud yang dinamakan kehidupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan